Operasi-operasi tentera salib di Tanah Suci Perang Salib Kesembilan

Telah diputuskan bahawa Edward bersama-sama dengan saudara Louis, Charles dari Anjou akan memimpin pasukan tentera mereka mara ke Acre, ibukota saki baki Kerajaan Jerusalem dan matlamat terakhir kempen ketenteraan Baibars. Pasukan tentera Edward dan Charles tiba pada tahun 1271, pada saat Baibars sedang mengepung Tripoli yang dipenuhi dengan puluhan ribu orang pelarian Kristian sebagai wilayah terakhir yang masih tersisa dalam Kerajaan Tripoli. Dari pangkalan mereka di Cyprus dan Acre, Edward dan Charles berjaya menyerang barisan dalam Baibars dan memecahkan kepungan tersebut.

Sebaik sahaja tiba di Acre, Edward telah melakukan beberapa cubaan untuk membentuk perikatan Perancis-Mongol dengan menghantar utusan kepada pemerintah Mongol di Parsi, Abagha yang merupakan musuh orang Islam. Utusan itu diketuai Reginald Rossel, Godefroi of Waus and John of Parker. Misinya adalah untuk memperoleh sokongan ketenteraan daripada orang Mongol.[4] Dalam satu jawapan bertarikh 4 September 1271, Abagha bersetuju untuk bekerjasama dan menanyakan tarikh serangan bersama terhadap orang Mamluk akan dilancarkan.

Ketibaan tentera tambahan pimpinan Hugh III dari Cyprus mengukuhkan lagi keberanian Edward yang sedang menyerang bandar Qaqun. Pada penghujung bulan Oktober 1271, satu pasukan tentera kecil orang Mongol tiba di Syria dan menjarah kawasan-kawasan dari Aleppo ke arah selatan. Bagaimana pun, Abagha yang sibuk dengan konflik lain di Turkestan hanya dapat mengirim 10,000 orang tentera berkuda Mongol diketuai panglima Samagar. Di sebalik pasukan tentera yang agak kecil, ketibaan mereka masih mencetuskan eksodus populasi orang Islam (yang mengingati kempen Kithuqa sebelumnya) ke selatan sejauh ke Kaherah.[5]

Tetapi tentera Mongol tidak tinggal lama di situ, ada apabila pemimpin tentera Mamluk Baibars melancarkan satu serangan balas dari Mesir pada 12 November, tentera Mongol sudah pun berundur ke seberang Sungat Furat.

Sementara itu, Baibars mengesyaki bahawa terdapat satu serangan padu darat dan laut terhadap Mesir. Berasakan bahawa kedudukannya cukup tergugat, beliau berikhtiar untuk menghalang serangan sebegitu dengan membina sebuah armada. Setelah menyiapkan pembinaan armada itu, berbanding menyerang pasukan tentera salib secara terus, Baibars cuba mendarat di pulau Cyprus pada tahun 1271 dengan harapan agar Hugh III of Cyprus dan armadanya keluar daripada Acre dengan tujuan menakluki pulau tersebut dan meninggalkan Edward dan pasukan tentera Salib terasing di Tanah Suci. Bagaimana pun, dalam kempen laut armada itu dimusnahkan dan tentera Baibars terpaksa berundur.

Ekoran kejayaan ini, Edward sedar bahawa dia perlu menamatkan pergolakan dalaman negeri Kristian bagi memastikan tentangan jangka panjang, dan dengan demikian dia menjadi orang tengah antara Hugh dan para kesatria yang kurang bersemangat dari keluarga Ibelin di Cyprus. Berikutan usahanya sebagai orang tengah itu, Putera Edward dari England mula berunding perdamaian sementara selama 11 tahun dengan Baibars, walaupun rundingan ini hampir berakhir apabila Baibars cuba membunuhnya dengan mengirimkan orang yang berpura-pura menerima baptis sebagai penganut Kristian.[perlu rujukan] Edward dan para kesatrianya sendiri membunuh pembunuh-pembunuh itu dan segera memulakan persiapan untuk menyerang terus Baitul Maqdis. Bagaimana pun, apabila berita kematian bapa Edward, Henry III sampai ke pengetahuannya, satu perjanjian ditandatangani bersama Baibars yang memberi peluang pada Edward pulang ke tanahair untuk dimahkotakan sebagai Raja England pada tahun 1272.